Tuesday, 8 January 2013


Persediaan asas memancing di laut dalam



SOAL: Apakah persediaan perlu untuk memancing di laut iaitu umpan, kekili, joran, saiz tali, ladung, perambut serta teknik dan waktu terbaik?


SOAL: Apakah persediaan perlu untuk memancing di laut iaitu umpan, kekili, joran, saiz tali, ladung, perambut serta teknik dan waktu terbaik?

JAWAB: Umpan - Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan pelaling (murah), ikan tongkol dan sotong pasar mencukupi untuk setiap trip.



Kekili - Lumrah kalau memancing laut dalam bukan saja pancing dasar menjadi tapi teknik hanyut, jigging, popping dan tundaan. Jadi, tiga set kekili adalah minimum dan kalau mampu bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan atau kehilangan (jatuh dalam laut).

Joran - Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 2 meter (5.5 kaki) hingga 2.5 meter (6.5 kaki) dengan aksi berat 30/80 paun, 50/80 paun atau PE4-PE8. Jika meminati jigging, guna joran kekuatan PE3-PE5 panjang 2 meter sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Kalau GT bersaiz XXXL elok gunakan joran berkekuatan sehingga PE8 dengan panjang yang sama atau 2 meter. Bagi popping, oran 2.5 meter sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan PE1 hingga PE3 untuk memancing apollo, anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup). 

Saiz tali - Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar dan menunda ialah 80 paun hingga 100 paun untuk tali utama kalau menggunakan tali sulam atau 50 paun hingga 80 paun jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam (braided) 60 paun hingga 80 paun dan disambung dengan tangsi kekuatan 80 paun hingga 100 paun sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader). 

Batu ladung - Penggunaan batu ladung kalau dibandingkan antara Pantai Barat dan Pantai Timur sedikit berbeza. Kalau di Pantai Barat had maksimum saiz 32 (1.5kg) di Pantai Timur pula had maksimum saiz 24 (1kg). Ini berdasarkan arus di pantai barat lebih deras berbanding pantai timur kerana laluan yang sempit. Di Sabah dan Sarawak, arus laut lebih kurang seperti Pantai Timur Semenanjung kerana berada di kawasan yang sama – Laut China Selatan. Biasanya memancing di laut hanya perlu membawa ladung mati bersaiz dari saiz 8 hingga 24 atau 32 jika di Pantai Barat. Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada masa memancing dan yang penting ialah sentiasa ada ladung tambahan jika berlaku tali pancing sangkut atau putus. 

Perambut - Pastikan setiap trip laut dalam set perambut perlu dibawa berkekuatan minimum 30 paun hingga 100 paun tidak kira apa jenama atau harga. Gunakan perambut cerah atau sedikit kebiruan serta kehijauan dan seakan-akan warna air. Ada pemancing gemar menggunakan perambut keras dan sebaliknya. Kedua-duanya boleh digunakan asalkan perambut yang tahan kejutan (shock leader), tahan calar, tidak mudah kerinting atau bersimpul. Ada juga perambut di katakan memiliki tahap penglihatan amat rendah atau tiada langsung dalam air. Perambut ini juga dikenali sebagai perambut hantu (zero visibility).

Teknik - Jigging dan popping boleh gunakan perambut kasar sama ada siang dan malam tanpa masalah. Teknik memancing sudah nyatakan dan setiap jawapan bermula daripada pancing dasar (bottom) tundaan (trolling), hanyut (drifting), pertengahan air (mid), jigging, popping dan candat sekiranya perlu mendapatkan umpan sotong. Satu lagi perkara yang merujuk tentang teknik memancing ialah jarak perambut untuk pancing dasar ialah 2 hingga 3 depa diikat pada 2 mata kail 1/0 di depan dan 3/0 @ 4/0 di hujungnya. Atau mengunakan teknik apollo 2 mata jika kawasan berlabuh adalah karang tinggi. 

Waktu - Saya tidak dapat nyatakan dengan tepat kerana ia perlu dirujuk lokasi yang bakal dikunjungi. Lebih afdal kalau kita minta khidmat nasihat dan pandangan kaki pancing yang pernah berkunjung di kawasan tertentu atau tepat minta pandangan tekong yang bakal kita tempah. Untuk masa pula, ikan lebih aktif dan galak waktu malam hari dan setiap kali berlaku perubahan arus. Ketika tiada arus ikan biasanya pasif walaupun paparan pada sonar terdapat banyak ikan di bawah. Jadi pedoman sampingan ialah rujuk jadual pasang surut (masa) untuk satu-satu lokasi yang bakal kita kunjungi. Set penggera pada telefon bimbit untuk setiap kali akan berlaku perubahan pasang surut air kerana waktu inilah kita perlu berjaga-jaga dengan lenturan yang bakal dikecapi di hujung joran.